Dron pantau pelajar tiru peperiksaan


LUOYANG - CHINA. Pelajar yang berniat untuk meniru semasa peperiksaan harus melupakan hasrat mereka kerana pihak berkuasa tempatan telah meluluskan undang-undang baru untuk menggunakan dron bagi  memantau aktiviti peniruan semasa pemeriksaan kemasukan ke universiti.

Menurut laporan China Daily, kenderaan udara tanpa pemandu itu mempunyai radius penerbangan satu kilometer dan boleh berlegar 500 meter dari atas tanah selain boleh mengimbas 360 darjah dan mampu mengimbas isyarat daripada alat-alat elektronik yang dilarang dibawa masuk ke dalam dewan peperiksaan.

Jurutera projek, Bai Yujun berkata walaupun ia kelihatan seperti dron yang biasa digunakan, alat ini lebih selamat dan lebih stabil.

"Ia boleh berada di udara selama setengah jam, mampu menahan angin yang kuat, dan pendaratan automatik untuk keadaan tertentu," katanya.

Pihak berkuasa meluluskan undang-undang ini berikutan peningkatan kes penipuan yang berlaku dalam peperiksaan "gaokao" iaitu sebuah peperiksaan rasmi untuk kemasukan ke universiti.

Malah lebih daripada 80 pegawai pendidikan, guru, pengawas peperiksaan, pelajar dan ibu-bapa dikenakan hukuman di atas kesalahan bersubahat dalam aktiviti peniruan dalam peperiksaan ini.

Selain pesawat antipenipuan, antara peraturan baru yang diperkenalkan tahun ini, pelajar hanya dibenarkan membawa kad pengenalan pelajar ke dalam dewan peperiksaan.

Pelajar di wilayah ini menghadapi tekanan kuat dalam memperoleh markah yang baik kerana ia penentu penempatan ke universiti.




Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment