Status FB Ruqayyah Farhani Cetus Inspirasi

Ruqayyah Farhani memangku jenazah Maryam Farihah untuk dikebumikan, enam hari lalu.

PETALING JAYA: Status di laman sosial, Facebook, Ruqayyah Farhani Mohd Syukry menyampaikan khabar sedih kembalinya ke rahmatullah salah seorang bayi kembarnya dengan memuatnaik gambar beliau tersenyum tanda reda ketika memangku jenazah bayi berusia 14 hari itu menjadi inspirasi kepada ribuan ibu pernah melalui pengalaman sama.

Tidak menyangka ia menjadi viral, siswazah bidang Pengajian Islam Universiti Al-Azhar yang tenang dan tabah ini menganggap semuanya berlaku dengan izin Allah SWT dan beliau terpanggil untuk terus mencatatkan pengalamannya khusus buat insan bergelar ibu.

"Status yang dimuatnaik itu untuk beritahu kawan-kawan mengenai Maryam (Farihah) yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita dan saya reda kerana Maryam pergi ke tempat yang lebih baik.

"Tetapi lebih mengejutkan apabila saya terima ribuan mesej secara peribadi daripada ibu-ibu yang menerima nasib sama kerana mereka anggap catatan saya memberi kekuatan dan semangat untuk bangkit meneruskan hidup.

"Buka sahaja dari dalam negara, malahan ada ibu dan wanita dari negara asing seperti Indonesia, Singapura dan Qatar yang mahu berkongsi pengalaman dan masalah mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pada usia 22 tahun, Ruqayyah Farhani yang menggunakan namanya untuk dihubungi menerusi Facebook dan Instagram reda dengan ketentuan takdir apabila Maryam Farihah hanya dipinjamkan selama 14 hari kepadanya dan suami, Abdullah Mubarak Hasanuddin.

Lebih menyedihkan, kembar Maryam, Marsya Farihah sedang berjuang untuk hidup dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kuantan.

Bertemankan keluarganya ketika suami di perantauan menimba ilmu, ibu muda ini mengakui kata-kata semangat yang ditiupkan suami sejak kedua bayi mereka disahkan mengalami jangkitan dalam darah, serta berpegang teguh kepada ajaran agama adalah kunci kekuatan dalam dirinya.

Kata Ruqayyah Farhani, maklum balas positif yang diterima bagaikan pembakar semangat untuk beliau terus menulis dan masa yang terluang sepanjang tempoh berpantang yang kini memasuki hari ke-20 akan digunakan untuk bersama Marsya Farihah dan menulis.

Bagaimanapun, anak keenam daripada 15 beradik ini sentiasa mengingatkan dirinya supaya berpijak di bumi nyata dan tidak leka dengan perhatian yang diterima menerusi catatan alam maya.

"Pujian dan kata-kata semangat yang diberi perlu dianggap sebagai motivasi kerana perlu diingat untuk menjadi orang baik bukannya destinasi tetapi ia perjalanan dalam hidup yang perlu dilalui setiap insan," katanya yang menganggap dugaan yang dihadapi ini lebih merapatkan dirinya dan suami.

Malahan, kata pemilik nama bermaksud "ketinggian kegembiraanku" ini, walaupun suaminya di Mesir tetapi kata-kata semangat dan iringi doanya sepanjang tempoh penuh cabaran ini banyak membantu dirinya untuk terus tabah.

"InsyaAllah Isnin ini suami balik dari Mesir, jadi pertama kali kami dapat bersama untuk menziarahi Marsya dan kemudian ke pusara Maryam," katanya yang berminat berkongsi pengalamannya bukan sahaja di alam maya, malah secara bersemuka sekali gus dapat memenuhi hasratnya untuk menjadi perunding rumah tangga.



Kredit: mstar.com.my

1 comment: