Ladang Michael Jackson Neverland Dibuka Untuk Dijual


> Harga yang ditawarkan ialah AS$100 juta (RM364.7 juta)

> Ladang Neverland adalah seluas 2,700 ekar

> Ia mempunyai 22 struktur binaan, termasuk rumah banglo enam bilik tidur dan kuarters pekerja

> Hartanah itu kini dikenali sebagai Sycamore Valley Ranch iaitu nama asalnya

> Jackson membeli ladang itu pada 1987 dengan harga AS$19.5 juta (RM71.12 juta)

> Dia berpindah keluar pada 2005 selepas kesnya dituduh mencabul seorang budak lelaki selesai


PARA jutawan kini berpeluang untuk mendapatkan sesuatu yang pernah menjadi milik 'Raja Pop' Michael Jackson apabila ladangnya yang bertemakan 'Neverland' itu kini akan dijual dengan harga AS$100 juta  (RM364.7 juta).

Wall Street Journal melaporkan, firma yang membeli hutang penyanyi tersebut dan kemudian mengubahsuainya membuat keputusan untuk menjual ladang yang luas itu kepada pembida dengan harga bukaan sebanyak AS$100 juta.

Disenaraikan oleh Sotheby dan Hilton & Hyland, kebanyakkan tanda-tanda bekas pemilik terkenal itu telah dipadamkan dan kawasan seluas 2,700 ekar yang dahulunya dilihat seperti taman hiburan kini telah menjadi tanah lapang.

Namanya juga turut ditukar daripada 'Neverland' kepada ladang 'Sycamore Valley' yang merupakan nama asal sebelum ia dibeli oleh Jackson.

Broker barangan, Suzanne Perkins berkata, taman hiburan yang dibina oleh penyanyi pop itu serta haiwan eksotik kesayangannya telah tiada lagi di ladang itu.

Ladang tersebut mempunyai kawasan bukit-bukau serta tasik buatan manusia yang dilengkapi dengan haiwan seperti angsa dan llama ketika ia dibawah milik Jackson.

Perkins bagaimanapun berjanji akan mengekalkan tanda-tanda kecil yang menunjukkan  ladang tersebut pernah menjadi sebahagian daripada 'Neverland' seperti kereta api dan jam yang diperbuat daripada bunga yang tertera perkataan 'Neverland' sekiranya peminat Michael Jackson membeli kawasan itu.

Walau bagaimanapun, ejen itu menjelaskan, para peminat tidak akan berpeluang untuk melihat kawasan tersebut kerana pembeli yang serius sahaja yang akan dibenarkan masuk.

Menurut ejen tersebut, pembeli baru juga akan memiliki 22 struktur binaan termasuk rumah utama yang berkonsepkan 'gergasi Normandy'.

Rumah tersebut yang terletak di antara dua tasik itu adalah seluas 12,000 kaki persegi dan mempunyai enam bilik tidur serta disediakan kuaters kakitangan.

Turut terdapat di ladang tersebut adalah dua rumah tetamu yang salah satu mempunyai empat bilik manakala satu lagi mempunyai enam bilik tidur.

Walaupun taman hiburan di ladang itu telah diruntuhkan, masih terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan kerana masih terdapat kolam renang bertemakan 'Cabana', gelanggang bola keranjang dan tenis serta, kawasan BBQ.

Dewan filem teater 50 tempat duduk yang mempunyai balkoni tayangan peribadi serta pintu perangkap bagi pertunjukan silap masa yang dibina oleh Jackson masih dikekalkan.

Terdapat laporan menyatakan bahawa rumah tersebut akan tersenarai di dalam pasaran dan pasangan selebriti Beyonce dan Jay Z dikatakan berminat mahu membeli rumah tersebut.

Nilai kediaman tersebut sering menjadi spekulasi dan terdapat beberapa laporan yang menyatakan rumah itu bernilai serendah AS$53 juta (RM127.64 juta).

Jackson membeli ladang tersebut pada 1987 dengan harga AS$19.5 juta (RM71.12 juta) tetapi kemudian digunakan sebagai cagaran untuk membuat pinjaman sebanyak AS$24.5 juta (RM8771.03 juta) yang gagal dilunaskannya kemudian.

Firma pelaburan Colony Capital membeli sebahagian besar daripada hutang tersebut pada 2008, setahun sebelum kematian Jackson.

Kediaman mewah itu mempunyai sejarah manis dan pahitnya tersendiri.

Ia pernah menjadi hos kepada perkahwinan Elizabeth Taylor dengan Larry Fortensky pada 1991 dalam satu majlis mewah, juga tempat Oprah Winfrey menemuramah Jackson di hadapan 90 juta penonton pada 1993 dan merupakan kawasan di mana Jackson dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki sehingga kes itu dibawa ke mahkamah dan hampir-hampir memusnahkan reputasi raja pop itu.

Kes tersebut merupakan salah satu punca Jackson berpindah dari kediamannya itu setelah kesnya selesai pada 2005.

Dia memilih untuk tinggal di tempat lain sehingga kematiannya pada 2009.

Anak perempuan Jackson, Paris, menyuarakan hasratnya untuk membaik pulih kawasan itu dan menggunakannya untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik tetapi itu semua kini hanya tinggal kenang-kenangan.

Berita mengenai penjualan ladang itu tersebar pada minggu yang sama mahkamah menolak kes yang dibentangkan oleh koreografer Australia, Wade Robinson terhadap harta pusaka Jackson itu yang mendakwa dia telah diserang secara seksual sebagai kanak-kanak oleh bintang pop itu.

Hakim Mahkamah Superior Los Angeles, Mitchell Beckloff menolak tuntutan pada Selasa setelah menentukan Robinson menunggu terlalu lama untuk memfailkan kes tersebut di mahkamah.

Robinson sebelum ini menafikan dia dicabul oleh Jackson dan memberi keterangan dalam pembelaan bintang pop itu di dalam perbicaraan jenayah pada tahun 2005.

Penari tersebut, yang telah bekerja dengan Britney Spears dan merupakan pengacara rancangan 'So You Think You Can Dance' mendakwa dia didera dalam tempoh tujuh tahun dan tidak menyedari kesan daripada pencabulan yang dihadapinya sehingga mengalami kerosakan saraf.


Kredit: mstar.com.my

No comments:

Post a Comment