Kucing 'Terkurung' Lima Tahun di sebalik dinding

Abdo (kanan) sedang memberi makan kepada Biso yang terperangkap sejak lima tahun lalu.
 
KAHERAH: Seekor kucing akhirnya diselamatkan selepas ‘terkurung’ bertahun-tahun di sebalik dinding.

Kucing yang diberi nama Biso itu dilaporkan terperangkap selepas memasuki lubang kecil di sebuah stesen kereta api yang dijaga Mohamed Naguib, lima tahun lalu.

Selepas terperangkap pada 2010, Bisco bernasib baik kerana seorang lelaki warga emas bernama Abdo memberikan makanan dan minuman kepadanya setiap hari.

Kata Abdo, Biso memasuki lubang itu untuk bersembunyi daripada kucing lain kerana ketika itu masih kecil.

“Lama-kelamaan ia semakin besar dan tidak muat untuk badannya keluar melalui lubang berkenaan,” katanya.

Beberapa percubaan pernah dibuat untuk mengeluarkan Biso sebelum ini namun kucing berkenaan tidak memberi kerjasama.

Kata Abdo, Biso biasanya berlari lebih jauh ke dalam apabila cuba diselamatkan.

Nasib Biso bertukar apabila sekumpulan wanita menggerakkan kempen melalui media sosial pada 12 Mac lalu.

Melalui Facebook, mereka menyiarkan gambar Biso mengintai dari lubang dinding stesen kereta api berkenaan dan merayu usaha menyelamat dibuat.

Pada masa sama, orang ramai berdepan dilema untuk menyelamatkan Biso kerana sebarang cubaan menjejaskan struktur dinding itu boleh dianggap merosakkan harta awam.

Akhirnya aktivis haiwan, Dina Zulfikar, Marwa Elgebaly dan Rania el-Kordy membuat laporan polis sebelum mereka mendapat arahan mahkamah beberapa hari kemudian untuk menyelamatkan Biso.

Akhirnya pada 13 Mac lalu kucing itu diselamatkan.



Sumber: mstar.com.my

No comments:

Post a Comment