Tarian gelek di Bazar Karat JB dikecam


JOHOR BAHRU  - Video pertunjukan tarian gelek yang didakwa diadakan di bazar karat, di sini, Ahad lalu, mendapat kecaman pelbagai pihak kerana berpakaian menjolok mata.

Tarian berdurasi 1.23 minit itu ditonton lebih 49,857 pelayar sehingga jam 5 petang semalam, menjadi viral menerusi Facebook.

Menurut jurucakap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), pihaknya maklum mengenai penganjuran persembahan yang diadakan di Jalan Tan Hiok Nee, di sini.

Jelasnya tarian itu bukan diadakan di bazar karat, sebaliknya berdekatan dengan laluan di situ malah perniagaan di situ tidak terlibat secara langsung dengan penganjuran persembahan tersebut.

“Setiap hujung minggu, sebuah persatuan di sini menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan sejak setahun setengah yang lalu.

“Pelbagai persembahan diadakan antaranya persembahan kipas dan zumba yang bertukar setiap minggu. Kebetulan minggu lalu mereka mempersembahkan tarian yang dimaksudkan, dan pihak kami telah memberi notis secara lisan,” katanya.

Menurutnya, permit hiburan juga dikeluarkan secara sah oleh pihak bertanggungjawab bagi penganjuran aktiviti kebudayaan tersebut dan mendapat sokongan daripada badan pelancongan.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau perkara tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan ia kali pertama berlaku sepanjang aktiviti kebudayaan itu diadakan sejak 2013.

Sinar Harian turut mendapatkan maklum balas Persatuan Tiong Hua yang dipertanggungjawab mengenai aktiviti persembahan kebudayaan yang diadakan di situ.

Presidennya, Datuk Seri Tey Kim Chai berkata, beliau mengakui telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan kesal dengan kejadian itu.

“Saya telah diberitahu, kita memang bertanggungjawab untuk mengendalikan aktiviti di kawasan tersebut, di mana kita membuka ruang dan peluang buat mana-mana persatuan membuat persembahan  di situ.

“Bagaimanapun, kita tidak menyangka, persembahan sebegitu diadakan dan kami akan lebih berhati-hati dan membuat tapisan mengenai penyertaan yang memohon  membuat persembahan di situ,” katanya.

Tegasnya, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana persembahan yang menjolok mata dan tidak menghormati sensitiviti kaum lain di negara ini.



Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment