Percaya Atau Tak, Kami Akan Cuba Apungkan Flor De La Mar


 Kuala Lumpur: “Sama ada orang mahu percaya atau tidak, itu hak masing-masing tetapi saya dan pihak di Portugal sudah berdekad berusaha malah sebuah yayasan di Eropah sudah mempunyai segala maklumat diperlukan untuk mengapungkan bangkai Flor De La Mar.

“Sekarang Malaysia, Indonesia dan Portugal hanya perlu mendapatkan perjanjian tiga pihak untuk melakukan kerja menyelamatkan khazanah bernilai AS$2 bilion (RM6.5 bilion) itu,” kata Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) Tan Sri Dr Rahim Thamby Chik.

Menurutnya, cadangan meminta kerajaan mencari mekanisme terbaik mengapungkan kapal Portugis yang menyimpan khazanah zaman Kesultanan Melaka itu bukan dilakukan secara membuta tuli.

“Saya tidak kisah kalau ada pihak tidak percaya kemampuan Malaysia mengapungkan bangkai kapal yang bersemadi di Selat Melaka sejak 1511 kerana sudah lama mengkaji perkara ini,” katanya di sini.

 Antara gambar bangkai Flor De La Mar di dasar laut
 
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, beliau dan kerajaan Portugal sudah lama membincangkan mengenai Flor De La Mar yang dipercayai terdampar di dasar Laut Aceh sejak mengetuai pentadbiran Melaka sekitar awal 1980-an.

“Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu mengarahkan saya dan juga Datuk Abu Hassan kini (Tan Sri Abu Hassan Omar) berjumpa dengan Suharto (Presiden Indonesia ketika itu) untuk menubuhkan jawatankuasa bersama.

“Tun sendiri yakin dengan usaha mengapungkan bangkai kapal itu, tetapi malangnya Kabinet Indonesia ketika itu membuat keputusan membatalkan kerjasama itu sebab mahu memberi lesen mencari khazanah berkenaan kepada sebuah syarikat pencari harta karun di Amerika Syarikat,” katanya.

Dr Mahathir ketika itu juga menunjukkan komitmen tinggi usaha berkenaan apabila menghantar dua rakyat Malaysia ke Portugal untuk mendalami bahasa republik di Semenanjung Iberia itu yang ditugaskan menjadi penterjemah tulisan sejarah dalam bahasa Portugis.

Selepas mengadakan perjanjian dengan Portugal, Rahim berkata, Malaysia dihadiahkan pelbagai bahan rujukan dihasilkan penulis Portugis menceritakan lebih tepat mengenai tamadun Melaka ketika itu.

Ditanya mengapa GABEM mengemukakan usul kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa mengendalikan projek mengapungkan kapal itu dan bukan pihak lain, Rahim berkata, beliau ada hubungan erat dengan Portugal.


Sumber: SiakapKeli

No comments:

Post a Comment