Spinosaurus, dinosaur pemangsa lebih besar dari T-Rex

 Foto: AP

Dinosaur pemangsa yang lebih besar daripada Tyrannosaurus rex (T-rex) dikenali sebagai Spinosaurus dipercayai merupakan dinosaur pertama yang masuk ke dalam air dan berenang di sungai-sungai di Afrika Utara kira-kira 95 juta tahun dahulu, demikian menurut satu kajian.

Kajian yang didedahkan di jurnal Science kelmarin menyatakan, dinosaur yang dipercayai kacukan daripada itik dan buaya itu berukuran 15 meter panjang dan menjadikan jerung prasejarah serta salamander sebagai makanan utamanya.

Haiwan prasejarah yang dipercayai mempunyai berat sehingga 20 tan itu turut mempunyai baluh di belakang badannya, seperti layar perahu layar yang mempunyai ketinggian sama seperti manusia.

Ekor yang panjang, pinggul yang sempit dan kaki seperti pendayung memudahkan makhluk itu masuk ke dalam air.

Spinosaurus juga mempunyai tulang yang padat bagi membantu haiwan tersebut mengimbangi badannya di dalam air dan muncung yang panjang dengan lubang hidung yang tinggi membolehkannya bernafas ketika badannya tenggelam, sama seperti seekor buaya.

"Jika dikumpulkan kesemua faktor itu, penyelidik percaya Spinosaurus merupakan dinosaur pertama yang menghabiskan kebanyakan masanya di dalam air," kata ketua kajian itu, Nizar Ibrahim yang merupakan ahli paleontologi di Universiti Chicago.

Filem Jurassic Park III ditayangkan pada 2001 turut menampilkan babak Spinosaurus menyerang T-rex dan membaham leher dinosaur karnivor legenda itu.

Saintis sebelum ini mendakwa babak dalam filem itu tidak tepat kerana T-rex hidup di Amerika Utara kira-kira 30 juta tahun selepas kepupusan Spinosaurus dengan fosil Spinosaurus hanya ditemukan di Afrika. - AFP


Utusan online

1 comment: