Anak Kelahiran Ipoh Juara MasterChef UK 2014 Dengan Memasak Nasi Lemak


SIAPA sangka hidangan nasi lemak dan sup wantan akan membawa tuah buat seorang suri rumah kelahiran Ipoh, Perak apabila dia memenangi Pertandingan MasterChef United Kingdom (UK) 2014.

Catherine Chin Wan Ping Coombes, 33, yang tinggal di negara itu memukau para juri bukan sahaja dengan dua hidangan tersebut, malah turut menyajikan beberapa pencuci mulut yang dinamakan ‘vanilla and coconut pannacotta with charred pineapple’, ‘freeze-dried mango’ dan ‘pineapple and lime air’.

“Ia benar-benar enak. Saya tak tahu bagaimana awak menghasilkannya. Saya tak mampu untuk menirunya. Ia benar-benar mengagumkan,” puji juri John Torode.


Coombes yang mewarisi bakat memasak daripada ibu dan neneknya berkata, dia mula memasak sewaktu menuntut di Oxford dan mula belajar mengubahsuai resepi ibunya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas memenangi program itu, dia bercadang untuk mempelajari lebih lagi mengenai masakan Asia Timur selain berhasrat untuk membuka restoran atau sekolah masakan.


Episod akhir tersebut disiarkan menerusi saluran BBC One di UK, malam semalam.

Dua lagi finalis yang turut berentap ialah Jack Lucas dan Luke Owen.

Kemenangan ini sekaligus membuktikan bahawa menu popular rakyat Malaysia ini juga mampu diangkat sehingga ke peringkat antarabangsa.-Mynewshub

Oleh: ELZA / MYNEWSHUB.MY

(Sumber: The Star)

No comments:

Post a Comment