Wanita maut disimbah asid ketika pesan makanan

Anggota forensik menyiasat lokasi wanita kena simbah asid di Penampang, semalam. - Foto Mohd Adam Arinin

Penampang: Seorang wanita maut akibat melecur di beberapa anggota badan selepas disimbah cecair dipercayai cuka getah oleh seorang lelaki ketika memesan makanan di sebuah restoran di pekan Towering, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, Memey Kandusan, 19, bersama dua rakannya berdiri di hadapan tempat memasak sebelum didatangi seorang lelaki bertopi yang tiba-tiba menyimbah sejenis cecair ke arahnya.
Suspek dikatakan menaiki sebuah kereta jenis PERODUA Viva yang berhenti berhampiran restoran sebelum meluru ke arah mangsa dan bergegas meninggalkan lokasi sejurus menyimbah cecair itu.


Mangsa kemudian rebah dan menggelupur sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia jam 11.20 pagi akibat melecur teruk di dada, bahu, mulut dan kedua-dua mata.

Singgah di restoran


Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh, berkata siasatan mendapati mangsa bersama dua rakan perempuan singgah di restoran berkenaan untuk memesan makanan sebaik pulang kerja.
Katanya, ketika menunggu pesanan mereka siap, tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi datang dan menyimbah sejenis cecair dipercayai asid cuka getah ke arah mangsa.

“Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke HQE1 oleh rakannya, tetapi disahkan meninggal dunia tujuh jam kemudian. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat HQE1 untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah turut dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Sumber: BH

No comments:

Post a Comment