‘Wanita cantik’ tipu RM59,900

 Gambar hiasan

Teluk Intan: Seorang kakitangan kerajaan mengalami kerugian RM59,900 apabila ditipu satu sindiket antarabangsa yang turut didalangi rakyat tempatan.

Mangsa berumur 35 tahun yang juga seorang kakitangan sebuah jabatan kerajaan berpejabat di sini, membuat laporan polis selepas menyedari diperdaya wanita yang dikatakan berwajah cantik melalui satu akaun di Facebook sejak awal bulan lalu.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, selepas beberapa hari berkenalan dengan wanita yang dikenali sebagai Farah Ridzuan itu, mangsa menerima satu pesanan kononnya daripada wanita itu yang berada di Britain.

“Wanita itu mendakwa akan menghantar 100,000 pound, telefon bimbit, jam tangan berjenama, komputer riba, bunga serta barangan lain sebagai tanda persahabatan.


“Pada 14 Mac lalu, mangsa menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai kastam dan mengarahkan mangsa membayar RM9,300 sebagai bayaran cukai ke atas barangan yang kononnya dihantar Farah. “Mangsa melakukan pembayaran itu atas nombor akaun sebuah bank tempatan atas nama Fagge Ibrahim Galadima dan tiga hari selepas itu, mangsa menerima satu lagi panggilan telefon kononnya dari Bank Negara Malaysia yang mahu mangsa membayar RM50,400 sebagai cukai atas barangan dikirim itu.


“Mangsa membuat bayaran sebanyak dua kali iaitu RM25,200 pada hari sama dan RM25,200 lagi keesokannya ke dalam akaun sebuah bank tempatan milik rakyat tempatan bernama Yap Swee Thien,” katanya, di sini, semalam.

Goh berkata, mangsa mula curiga selepas menerima satu lagi panggilan telefon dari seorang lelaki yang mengaku pegawai kastam dan meminta mangsa membayar RM68,000 lagi sebagai bayaran cukai United Kingdom, sebelum membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan pada 20 Mac lalu.


Katanya, polis kemudian menahan tiga lelaki iaitu dua rakyat tempatan berusia 32 dan 28 tahun di rumah masing-masing di Taman Seri Setia, Johor Bahru, Johor, dan seorang pelajar kolej berbangsa Nigeria berusia 20-an di sekitar Damasara, Selangor.

“Polis percaya mereka sebahagian daripada sindiket penipuan dan masih memburu saki-baki kumpulan terbabit. “Sehubungan itu, polis juga sedang mengesan seorang lelaki dari Nigeria yang dikenali sebagai Chizaoba Gods Power Iwuagwu untuk siasatan,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, Inspektor Gopal Palanisamy di talian 016-6379408 atau menghubungi Balai Polis Teluk Intan di talian 05-6222222 atau balai polis berhampiran.

Sumber; Harian Metro

No comments:

Post a Comment