MH370: ‘keyboard warrior’ diminta bertenang

 Foto: pcadvisor.co.uk

Kuala Lumpur: “Apabila ditimpa musibah, tenang...bukannya membuat kecoh dan saling tuduh menuduh dengan memaki hamun di laman sosial.

“Sikap ini bukan saja akan mengeruhkan keadaan malah menambahkan dosa saja,” kata Penceramah dan Pakar Motivasi Datuk Mohd Zawawi Yusoh ketika diminta mengulas berkaitan trend masyarakat negara ini yang gemar menjadi pahlawan papan kekunci atau lebih dikenali dengan ‘keyboard warrior’ ketika berlaku sesuatu isu.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Zawawi berkata, contoh terbaru ialah kes membabitkan kehilangan pesawat MH370 yang memasuki hari keempat pelbagai andaian dan pandangan negatif terpapar di laman sosial termasuk Facebook dan Twitter.

“Mereka membuat andaian sendiri, ada pula yang memandai-mandai meletakkan khabar daripada sumber tidak sahih malah tidak enaknya menyalahkan pula pihak berwajib contohnya lambat bertindak dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mohd Zawawi berkata, justeru itu peranan alim ulama dan tokoh agama adalah untuk menyedarkan masyarakat dan mengajak mereka melakukan kebaikan seperti solat hajat untuk memohon pertolongan Allah.

“Mencari benda hilang, banyak cara kita boleh tolong tidak semestinya perlu pergi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) itu.

“Sebagai contohnya, mengajak orang ramai melakukan solat hajat dan memanjatkan doa kepada Allah sebagai ikhtiar supaya memudahkan usaha operasi SAR itu apatah lagi doa orang alim lebih didengar kerana antara golongan yang dekat dengan Allah.

“Selain itu, keluarga mangsa juga digalakkan melakukan solat hajat dan perbanyakkan doa kerana doa mereka yang ditimpa musibah juga mudah dimakbulkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat terutama golongan muda jangan menyebarkan sebarang status mahupun komen yang boleh menyinggung keluarga mangsa terbabit.

Sumber: Harian Metro

2 comments: