Terserempak haiwan pelik

Yeh menunjukkan haiwan pelik yang ditemuinya ketika kampungnya di Pulau Gorek dilanda banjir.

TUMPAT – Seorang tukang rumah yang menahan pukat berdekatan tali air di Kampung Mak Nelalang terkejut apabila terserempak dengan haiwan pelik seperti udang galah namun ianya juga menyerupai ketam dan ekornya kelihatan seperti kala jengking.

Haiwan pelik berwarna jingga itu ditemui oleh Yeh Ismail, 52, ketika kampungnya di sini dilanda banjir pada 6 Disember lalu.

Yeh berkata, pada mulanya dia menyangka ketam kerana ternampak sepit ketika haiwan itu merayap di atas rumput yang ditenggelami banjir separas betis.

“Ketika itu saya ke tali air Mak Nelalang untuk mengangkat pukat yang ditahan berdekatan dengan kawasan pokok nipah.

“Pada mulanya saya menyangka ketam dan terdetik di dalam hati mujur ketam ini tidak melekat di pukat kalau tidak habis hancur pukat ini.

“Namun jangkaan saya itu meleset selepas saya mengamatinya betul-betul kerana ia menyerupai udang galah tetapi ada sepit ketam ,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gorek.

Menurutnya, dia memberanikan diri memegang haiwan itu dan membawa pulang ke rumah dan dipeliharanya di dalam bekas yang diisi air.

“Saya rasa haiwan ini boleh hidup dua alam, atas darat pun dia boleh hidup di dalam air pun boleh hidup dan rupanya yang unik ini menarik perhatian ramai orang,” katanya yang mempunyai lapan anak.

Bagi Yeh, ini pertama kali dalam hidupnya melihat haiwan pelik ini dan tidak memaklumkan kepada jabatan perikanan untuk mengetahui spesies haiwan ini.

Menurutnya, dia akan menjual haiwan itu jika ada berminat untuk membelinya kerana khuatir jika dipeliharanya haiwan ini akan mati.

Difahamkan, haiwan ini nama sainstifiknya adalah thalassina anomala, ianya hidup di atas darat dekat dengan paya.

Spesis ini banyak ditemui di Sabah dan Sarawak. Bagi orang Sabah, dikenali sebagai bengkeIa dan di Johor dikenali sebagai udang kara darat.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment