Misteri kehilangan buaya tembaga sebesar van di lombong Kampung Pengkalan Durian

Gambar bangkai buaya yang ditemui mati berhampiran Sungai Linggi pada 2010.

LINGGI – Misteri kehilangan seekor buaya tembaga yang mempunyai saiz sebesar sebuah van, di sini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk tempatan terutamanya kaki pancing.

Sebelum ini, haiwan pemangsa itu didakwa menghuni di dalam lombong Kampung Pengkalan Durian, namun sejak kebelakangan ini buaya tembaga itu dikatakan menghilangkan diri.

Malah, ada mengatakan buaya berkenaan ditembak oleh sindiket menjual kulit buaya, tetapi itu hanyalah sekadar cakap-cakap kosong sahaja.

Menurut Adun Linggi, Abd Rahman Mohd Redza, disebabkan warna kulitnya berwarna hitam, buaya tembaga itu digelar 'Black' oleh penduduk tempatan.

"Walaupun saiznya besar, namun Black tidak pernah bersikap agresif terutamanya kepada kaki pancing yang memancing ikan di lombong tersebut.

"Sejak beberapa minggu lalu, Black tidak kelihatan di permukaan lombong tersebut sehingga ada yang menganggap buaya tembaga itu ditembak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Tetapi kehilangannya itu mungkin disebabkan haiwan itu berpindah habitat memandangkan lombong inimempunyai aliran untuk ke Sungai Linggi,” katanya.

Abd Rahman berkata, bagaimanapun dia berasa kesal jika benar ada kejadian menembak buaya di kawasan itu.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berkaitan kes tembak buaya di Linggi.

"Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan sekiranya ada aduan mengenainya (tembak buaya) sampai kepada pihak kami.

"Kes tembak haiwan liar adalah perkara serius dan menyalahi undang-undang dan mana-mana individu yang terlibat dengan kejadian ini boleh didakwa mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972,” katanya.

Untuk rekod, pada 2 Ogos 2010, seekor buaya tembaga betina ditemui mati di tepi pantai di kawasan sebuah resort di Tanjung Agas, berhampiran Sungai Linggi, dipercayai ditembak.

Menurut sumber Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, sekurang-kurangnya terdapat 3,000 buaya hidup di Sungai Linggi.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

  1. sungai linggi tu banyak udang. orang cakap kalau banyak udang tentu ada buaya. aku tak tau plak aka relation antara udang dengan buaya ni hahaha

    ReplyDelete