Mak Nyah cabar perundangan syariah

 Gambar hiasan. Image: google

Kuala Lumpur: Usaha sekumpulan 'mak nyah' memfailkan rayuan bagi menggugurkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang menghalang mereka berpakaian wanita, disifatkan sebagai cubaan mencabar perundangan syariah negara ini.

Sambil mengecam tindakan itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, menyifatkan kumpulan itu cuba meniru propaganda Barat, sedangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam.

“Agama rasmi negara ini adalah Islam, justeru, mereka perlu menghormati undang-undang sedia ada dan tidak boleh mengaitkannya dengan kebebasan hak asasi manusia.

Wujud impak negatif

“Usaha ini jelas menunjukkan ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan impak negatif dalam perundangan Islam di Malaysia,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.

Musa berkata, keadaan terbabit harus dinilai berdasarkan realiti masyarakat di Malaysia, yang tidak menerima semua perubahan berikutan peredaran masa dengan mudah, tanpa proses saringan terlebih dulu.
Hak asasi melampau

“Mereka tidak seharusnya membawa isu hak asasi manusia melampaui hak yang dituntut dalam Islam, mahupun agama lain di negara ini.

“Kumpulan terbabit tidak seharusnya menggunakan sentimen berkenaan semata-mata untuk menghalalkan cara mereka yang jelas terpesong dari landasan agama,” katanya.

Beliau mengulas hasrat sekumpulan ‘mak nyah’ yang mahu mencabar Seksyen 66 buat kali kedua pada Mac depan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Oktober tahun lalu, kumpulan ‘mak nyah’ itu memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 66 enakmen itu tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau mempunyai kecelaruan identiti jantina.

Dalam keputusan perbicaraan terbabit, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad, berkata Seksyen 66 tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kerana digubal mengikut bidang kuasa negeri dan sah digunakan.

Tolak percanggahan

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut, berkata segala pegangan yang bercanggah daripada al-Quran dan hadis perlu ditolak serta-merta.

Katanya, umat Islam kini tidak boleh alpa dengan arus kemodenan yang boleh mengakibatkan mereka melawan arus dan akhirnya memesongkan akidah mereka.

“Konsep hak asasi manusia mengikut al-Quran adalah terbatas dan tidak ada yang mutlak. Justeru, tidak perlu menggunakan sentimen lain untuk menghalalkan tindakan mereka.

“Tindakan lelaki yang menyerupai wanita adalah dilaknat dari segala aspek sekiranya ia dibincangkan, termasuklah bagi agama lain yang turut tidak menyokong tindakan terbabit,” katanya.

Sumber: Berita Harian

4 comments: