Penjaja asing di Pasar Harian Selayang jual sayur yang dikutip dari tong sampah

DBKL sentiasa melakukan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja warga asing di pasar borong. (Gambar arkib DBKL)

RATA-RATA pelanggan warga Myanmar yang menjual sayur terbuang di Pasar Harian Selayang merupakan pekerja kedai mamak dan kedai makan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan kerana mahu menjimatkan kos modal bahan mentah masakan yang dijual.

Hal itu didedahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil pemantauan yang dilakukan setiap hari di situ sejak mula-mula aktiviti itu berlangsung.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL, Muhamad Irwan Abdullah berkata, tindakan pihak kedai makan membeli bahan mentah yang sepatutnya telah dilupuskan itu tidak wajar kerana ia hanya nampak elok di pandangan mata kasar hakikatnya sudah tiada kualiti.

“Sayur-sayur ini akan dikutip dari tong sampah di pasar borong untuk dijual di Pasar Harian Selayang, dan hasil pemantauan dan risikan yang dibuat, jarang ada orang perseorangan yang membelinya melainkan dari pihak kedai makan.

“Bagaimanapun aktiviti jualan ini dilihat semakin berkurangan hasil tindakan penguatkuasaan yang dilakukan, namun tidak dinafikan masih terdapat kegiatan itu memandangkan warga Myanmar merupakan di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, antara faktor yang menyumbang kepada kegiatan tersebut adalah terdapat pihak yang bertindak menjadi ‘pembekal’ kepada warga Myanmar itu bagi mengasingkan sayur-sayur terbuang yang masih ‘elok’.

“Sepatutnya sayur-sayur terbuang ini dikumpulkan dan dibuang dalam tong sampah namun terdapat pekerja pasar borong yang bertanggungjawab melakukannya tugasan itu bertindak mengasingkan sayur yang kelihatan elok.

“Pekerja itu terdiri daripada warga Myanmar juga, jadi mungkin mereka juga ada ‘deal’ dan  mengambil untung dengan menjual sayur-sayur terbuang itu kepada rakan mereka, untuk dijual kembali,” katanya.

Jelas Irwan, sepanjang tahun ini, lebih 3,000 sitaan dilakukan melibatkan penjaja warga asing dan kebanyakannya adalah hasil operasi di Pasar Harian Selayang.

“Kita juga bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Selayang setiap kali melakukan operasi.

“Justeru orang awam dinasihatkan untuk tidak membeli sayur-sayur yang dijual oleh warga asing ini kerana ia adalah bahan yang dilupuskan,” katanya.

Difahamkan seramai lapan penguatkuasa ditempatkan setiap shift untuk melakukan pemantauan dan tindakan sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan di sekitar Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sinar Harian


2 comments: