Warden Penjara Kajang kantoi bawa masuk dadah diberkas polis

KUALA LUMPUR - Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah di dalam Penjara Kajang dan menangkap seorang warden berusia 34 tahun yang dipercayai menjadi orang tengah membawa masuk dadah ke penjara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab (gambar) berkata lelaki itu yang bertugas di penjara berkenaan sejak setahun empat bulan lalu, diberkas polis pukul 11.45 pagi kelmarin di hadapan sebuah pasar raya di Kajang.

Pemeriksaan polis ke atas suspek menemukan dadah jenis heroin seberat 104.8 gram di dalam poket seluarnya dan dia dipercayai baharu mengambil bekalan dadah ketika ditahan, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Ab Rashid, siasatan lanjut mendapati suspek sudah empat kali membawa masuk dadah ke penjara itu dan menerima upah RM800 setiap kali.

Bekalan dadah itu diserahkan oleh suspek kepada dua banduan yang bertindak sebagai pengedar di dalam penjara dan polis percaya banduan terbabit 'dilantik' oleh pengedar di luar, katanya.

"Bagi mengelak dikesan, banduan yang bertindak menjadi pengedar itu memasukkan dadah yang dimampat menjadi dua ketulan ke dalam dubur mereka," katanya.

Beliau berkata polis juga percaya urusan pembayaran bagi pembelian dadah dalam kalangan banduan dilakukan oleh rakan atau anggota keluarga tahanan terbabit dengan pengedar di luar.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau. Dia direman enam hari untuk disiasat mengikut  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes berasingan, Ab Rashid berkata polis mematahkan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja dan heroin selepas menahan tiga lelaki warga Nigeria di sebuah rumah di Bandar Damai Perdana, Rabu lepas.

"Ketiga-tiga mereka berumur antara 27 dan 30 tahun, ditahan selepas polis menemui ganja seberat 12.25 gram di dalam sebuah mesin pengisar di rumah itu dan heroin seberat 16.45 gram dalam sebuah bilik," katanya.

Dua daripada tiga suspek itu positif ganja dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya kesemua suspek memasuki Malaysia sejak 2008 dengan pas pelajar dan mereka direman dua minggu untuk siasatan lanjut. - Bernama

1 comment: