KL Gangster 2 bocor: 'Saya akan saman berjuta ringgit!'- Datuk Yusof Haslam

“SAYA akan saman berjuta ringgit!”. Demikian reaksi pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam behubung kontroversi terbaru melibatkan filem arahan terbaru anak lelakinya, Syamsul Yusof, KL Gangster 2.

Filem sekuel yang menelan kos RM 4.5 juta itu dikhabarkan bocor di Internet sedangkan masih belum ditayangkan di pawagam.

Ekoran insiden tersebut, beliau mengadakan sidang media khas tergempar, semalam.

Dalam sidang media itu, jelas kekecewaan daripada pihaknya meskipun yang tersebar hanyalah 'raw material' yang belum diberi sentuhan akhir.

“Dari awal lagi saya dah rasa. Syamsul di Bangkok lagi sudah beritahu saya, ‘pastikan ya Papa, sekarang ini zaman digital, jangan sampai kita bocor di mana-mana. Habis kita nanti.’

“Sebab dah terlalu lewat, saya bagi Syamsul 'dateline' dan dia menghantar 'raw material' untuk filem itu, yang hanya 50 peratus kualitinya daripada segi kandungan, kesan dan CGI serta belum dibuat 'final mix' dan sebagainya,” katanya pada sidang media.

Filem yang tersebar luas itu dikatakan bukan dalam format berdefinisi tinggi.

“Dia kata hantar saja ke Lembaga Penapisan Filem (LPF)' dan Finas untuk penilaian wajib tayang memandangkan berpuluh filem menanti. Kalau tak, tayang 2014. Selama ini, kita hantar filem yang 100 peratus dari segi kualitinya.

“Tapi entah kenapa. Ada hikmah juga. Bayangkan kalau kita hantar 'Full HD' kepada syarat wajib tayang...LPF. Bayangkan apa yang terjadi. Sedangkan yang kualiti 50 peratus ini saja, besar kesannya terhadap kami,” katanya.

Akui tidak akan berkompromi dengan pelaku yang menyebarkan karya anaknya itu,  Yusof Haslam memberi amaran bakal mengambil tindakan tegas.

“Pejuangan kami tidak berhenti di sini. kepada mereka-mereka yang nak sabotaj kami, kami tak akan berdiam diri. Kalau kamu menggunakan Internet untuk mencetak rompak, pihak polis juga ada cara untuk mengesan.

“Kami akan bawa orang ini (pelaku) ke muka pengadilan. Bukan dengan denda setakat RM 1,000 tapi saya akan saman jutaan ringgit. Ini yang saya akan buat. Ini bukan perkara main-main.

“Filem ini melibatkan kos yang cukup besar. Walaupun kami buat filem dengan RM 100,000 modal sekalipun, itu adalah titik peluh kami, karya kami. Apabila karya kami dicuri, tidak ada kompromi,” katanya.

Tidak berhasrat untuk mempercepatkan tayangan KL Gangster 2, Yusof tidak mahu bersikap mementingkan diri.

“Tayangan filem ini tetap 3 Oktober. Saya disarankan untuk mempercepatkan tayangannya tapi saya tak nak.

“Saya boleh buat kalau fikir kepentingan diri sendiri tapi sebagai pembikin filem, saya menghormati rakan-rakan produser lain. Saya tak tergamaknya nak pijak kepala produser lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyerahkan soal sambutan dan kutipan kepada rezeki Allah.

“Insya-ALLAH ada rezeki, filem ini akan tetap dapat sambutan. Berapa nak kutip itu soal rezeki dari ALLAH,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment