Kekeliruan imsak dan akhir sahur

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, tahun ini kita masih lagi diizinkan untuk bertemu dengan Ramadan. Maka hendaklah Ramadan kali ini menjadi motivasi kepada kita dengan memanfaatkan segala kebaikan dan amal soleh seolah-olah inilah Ramadan kita yang terakhir.

Dan di antara kebaikan dan amal soleh dalam bulan Ramadan yang paling besar adalah melaksanakan ibadat puasa itu sendiri sesuai dengan sunah Nabi SAW. Apa yang dilakukan dan disuruh oleh Nabi dalam berpuasa itulah yang terbaik manakala yang tidak dilakukan oleh Nabi dan tidak disuruh itu bukanlah sunah baginda.


Semua orang Islam mengetahui bahawa puasa bermula dengan terbit matahari - masuk waktu Subuh dan berbuka selepas tenggelamnya matahari yakni masuk waktu Maghrib.

Namun, takrif puasa yang mudah difahami ini jika dilihat kebanyakan orang Islam yang berpuasa terdapat perbezaan praktikal dengan takrif puasa ini.


Tiada istilah imsak Misalnya, sudah menjadi kebiasaannya orang Islam hari ini imsak ketika bersahur iaitu berhenti 10 minit sebelum masuk waktu Subuh dan beriktikad pada tempoh masa 10 minit ini tidak boleh lagi menjamah makanan dan perlu berhenti serta-merta. Lebih parah lagi bersangka batal puasa seseorang seandainya masih makan dan minum dalam tempoh imsak ini.


Benarkah dakwaan ini? Apakah ada sandaran daripada Nabi? Pada pemahaman penulis, amalan imsak ini tidak menepati petunjuk dan sunah Nabi. Buktinya di antara sunah dan dianjurkan Nabi ketika bersahur untuk berpuasa adalah dengan melewatkan sahur seperti hadis Nabi yang bermaksud:

“Tiga perkara adalah akhlak kenabian; mempercepatkan buka puasa, melewatkan sahur dan meletak tangan kanan atas tangan kiri dalam solat.” (Riwayat Al-Thabarani, dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’, no. 3038) Dan ia dikuatkan lagi dengan hadis daripada Zaid yang ditanya oleh Anas kepadanya, bahawa Zaid mengatakan jarak Nabi dan sahabat, mereka bersahur sebelum waktu Subuh dalam tempoh 50 ayat al-Quran dibacakan.

Hal ini seperti terkandung dalam hadis Zaid yang berbunyi: Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh).” Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama sahur antara azan dan sahur tersebut?” Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa tiada petunjuk daripada Nabi yang memberhentikan makan dan minum dalam tempoh tertentu sebelum masuk Subuh. Hal ini dibahaskan oleh Imam Ibnu Hajar di zamannya lagi dengan mengatakan: “Di antara bidaah yang mungkar ialah apa berlaku di zaman ini iaitu melaungkan azan kedua sebelum waktu Subuh dengan anggaran satu pertiga jam pada bulan Ramadan, di samping memadamkan pelita yang dijadikan tanda pengharaman makan dan minum bagi mereka yang ingin berpuasa. 
Perbuatan ini dianggap satu usaha berjaga-jaga dalam ibadat. Perkara ini tidak diketahui kecuali oleh segelintir manusia. Perbuatan ini juga menarik mereka untuk tidak melaungkan azan kecuali selepas terbenamnya matahari seketika untuk memastikan waktu pada sangkaan mereka. Dengan ini mereka melewatkan berbuka dan mempercepatkan bersahur dan mereka menyalahi sunah. Disebabkan inilah kebaikan menjadi sedikit dalam kalangan mereka dan keburukan menjadi banyak di antara mereka. Allah jualah yang dipohon pertolongan.”

(Lihat Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Baari, 4/199) Azan ketika sahur Lebih jelas bukti yang menunjukkan tiadanya imsak dalam Islam ini walau apa sekalipun matlamatnya adalah hadis Nabi yang melarang seseorang berhenti ketika bersahur walaupun azan Subuh sudah berkumandang.

Kata Nabi yang bermaksud: “Sekiranya seorang daripada kamu mendengar azan sedang bekas makanan di tangannya, janganlah dia letakkan sehingga dia selesai menghabiskan apa yang perlu.” (Riwayat Abu Daud, Dinilai hasan sahih oleh Syeikh al-Albani) Maka yang sahih dan menepati sunah bersahur untuk berpuasa ini adalah tiada waktu imsak.

Berhentilah sebelum azan tanpa perlu dibataskan masa tertentu, itupun terdapat rukhsah dan keringanan sekiranya terdengar azan selesaikanlah makan dan minum barulah berhenti dan teruskan berpuasa.

Yahudi lewatkan berbuka Ketika berbuka pula, disunahkan pula kita berbuka puasa dengan segera jangan melewatkannya seperti hadis Nabi yang berbunyi: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Hal ini kerana Islam adalah agama fitrah dan berbuka awal menepati fitrah insan di samping anjuran Nabi kepada umatnya untuk berbeza dengan orang Yahudi yang berpuasa akan melewatkan berbuka seperti perkataan Nabi dalam hadis yang lain: 
“Agama ini akan senantiasa menang selama manusia menyegerakan berbuka, kerana orang Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya.” (Hadits Riwayat Abu Dawud 2/305, Ibnu Hibban 223, dengan sanad yang Hasan) Tetapi ada juga di sana segolongan manusia berasa warak kepada Allah dengan melewatkan berbuka puasa dan berasa hina jika berbuka awal seperti golongan Syiah yang sesat. Mereka suka melewatkan berbuka puasa menanti sehingga nampak bintang di langit padahal sahih daripada Nabi agar jangan berbuka sehingga kelihatan bintang di langit.

Kata Nabi yang bermaksud: “Umatku akan senantiasa dalam sunahku selama mereka tidak menunggu bintang ketika berbuka puasa.” (Hadits Riwayat Ibnu Hibban 891 dengan sanad sahih) Jadi yang terbaik adalah mengikut petunjuk dan sunah Nabi ketika berpuasa kerana berasa cukup dengan sunah itu adalah sebuah hidayah.

Oleh: Ahmad Tajuddin Bin Idris al-Manhaji
(Penulis lulusan Syariahh Fiqh dan Usul (UM) adalah Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia )

MyMetro

No comments:

Post a Comment