Kumpulan Search dan Loudness akan gegar Stadium Merdeka 30 Jun ini


BUAT peminat tegar rock kapak, berita penganjuran konsert Thunder In The East mungkin memberi makna mendalam buat anda tambahan pula ia menampilkan empat band legenda terhebat dari empat negara berbeza iaitu Loudness (Jepun), Search (Malaysia), Slank (Indonesia) dan Rusty Blade (Singapura) pada 30 Jun ini bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Dibawakan khas oleh Clockwork Events, kemunculan empat kumpulan hebat yang berkongsi satu pentas ini pastinya bakal mengembalikan zaman kegemilangan rock kapak dengan persembahan hebat mereka.

Menurut penganjurnya, Iman Tang, konsert ini dirancang apabila Loudness, dan Search masing-masing berhasrat untuk saling berkolaborasi selepas mereka pernah berkongsi pentas pada konsert jelajah kumpulan Jepun itu di negara ini pada 2011 lalu.

"Amy Search pernah berkongsi pentas dengan Loudness sebelum ini dan oleh kerana tidak puas dengan persembahan lalu, mereka berhasrat untuk jalinkan kolaborasi bersama sekali lagi.

"Dari situlah kami mendapat idea untuk gabungkan sekali lagi dua nama besar ini dengan dua lagi band dari negara jiran iaitu Rusty Blade dan Slank," katanya pada majlis sidang media Konsert Thunder In The East di Kafe Hard Rock, Kuala Lumpur, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan konsert itu, Iman memberitahu setiap kumpulan yang bakal membuat persembahan lebih kurang satu jam dengan menyampaikan 13 hingga 15 lagu.

"Pintu akan dibuka seawal jam 3 petang dan akan bermula dengan persembahan dua band selepas waktu solat Asar dan dua band lagi akan bersambung selepas solat Asar.

"Untuk memberi kelainan dan kepuasan penonton yang hadir pada malam itu, terdapat beberapa persembahan menarik dan kejutan yang akan dilakukan khas buat peminat," katanya.

 Loudness

Diminta mengulas mengenai penjualan tiket pula, Iman berkata, mereka menyediakan empat pakej istimewa buat peminat tegar Loudness.

"Kami ada menawarkan harga tiket RM138, RM258, RM398 dan RM888. Selain dapat menyaksikan persembahan di ruang Rock Zone berhadapan dengan pentas dan sesi meet and greet, pembeli tiket RM888 berpeluang mengikuti bengkel gitar bersama gitaris Loudness, Akira Takasaki di Bently Music Auditorium sehari sebelum konsert dijalankan.

"Ini adalah sesuatu yang kami nantikan selepas kali pertama Search dijemput untuk berkongsi pentas dengan Loudness dua tahun lepas.

"Saya berharap konsert ini mendapat sambutan hebat memandangkan band-band yang akan buat persembahan
bukanlah calang-calang," katanya.

Untuk mendapatkan tiket, orang ramai boleh layari laman web www.ticketpro.com.my dan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert di www.clockwork.my.
Search janjikan kepuasan.

Bagaikan impian menjadi kenyataan itulah yang diungkapkan oleh kumpulan Search ketika ditanya mengenai perasaan berkongsi pentas bersama nama besar, Loudness.

Menurut vokalisnya, Amy, ini adalah satu penghargaan yang bermakna buat mereka kerana Loudness bukanlah nama kecil dalam industri rock dunia.

"Sebelum ini memang saya tidak pernah terbayang dapat berduet dengannya sehinggalah dua tahun lalu saya dijemput sebagai artis jemputan pada konsertnya.

"Kali ini sekali lagi saya berpeluang untuk beraksi bersama mereka. Ini adalah kenangan yang terindah buat saya dan anggota Search yang lain," katanya penuh teruja.

Menyentuh mengenai persiapan Search, vokalisnya, Amy memberitahu buat masa ini mereka belum membuat sebarang perancangan yang teliti terhadap persembahan mereka kerana terpaksa memberi tumpuan kepada konsert solo, Acoustica Malam Edan Search yang akan dijalankan di Singapura 1 Jun ini.

"Kalau mahu cerita mengenai persiapan kami untuk konsert ini memang kami belum ada apa-apa persiapan, tapi kami akan pastikan persembahan pada malam itu akan memberi kepuasan buat penonton.

"Selain daripada itu, kami akan menyampaikan lagu-lagu popular era 80-an bagi mengembalikan nostalgia kepada mereka yang hadir malam itu," ujarnya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment