UKM berjaya bedah otak ketika pesakit dalam keadaan sedar

Pesakit sedar ketika dibedah

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) membuat satu lagi pencapaian menakjubkan apabila seorang pesakit disedarkan sewaktu pembedahan sedang dilakukan.

Ia adalah pembedahan pertama Awake Craniotomy yang dilakukan di Pusat Perubatan UKM. Pembedahan itu dilakukan untuk mengeluarkan ketumbuhan daripada otak pesakit tanpa menyebabkan kerosakan otaknya. Kalau pun ada kerosakan yang dialaminya sangat kecil.

Siapa yang tidak mengetahui mungkin terkejut bahawa pesakit terbangun semasa pembedahan sedang dijalankan. Tetapi dalam pembedahan ini, menyedarkan pesakit kembali adalah disengajakan. Malah pesakit perlu disedarkan untuk memberitahu doktor bedah reaksinya bagi melindungi fungsi otak pesakit.

Pembedahan ini telah dilakukan oleh Pakar Bedah Neurosurgery, Professor Madya Dr Ramesh Kumar dengan dibantu tiga lagi pakar bedah iaitu Dr Toh Charng Jeng, Dr Sanmugarajah Paramasvaran and Dr Ainul Jaffar.

Dr Esa Kamuruzaman adalah pakar bius yang bertanggungjawab bagi melalikan pesakit sebelum menyedarkannya semula sebaik tempurung kepala pesakit telah dibuka. Pesakit disedarkan semasa pembedahan bagi membolehkan ketumbuhan dikeluarkan dengan selamat.

Pembedahan sebegini selalu dilakukan untuk mengeluarkan ketumbuhan yang berada di bahagian otak dikenali sebagai ‘Eloquent Brain’. Ini adalah bahagian yang mengawal fungsi penting seperti komunikasi, persepsi, interaksi dan pergerakan.

Bahagian tersebut mengurus deria, pergerakan dan pertuturan yang merupakan fungsi penting untuk kehidupan normal.

Apa yang menakjubkan, pembedahan unik ini ialah pesakit turut mengambil bahagian semasa pembedahan dengan memberi maklum balas kepada pakar bedah. Pakar bedah akan bertindak berdasarkan maklum balas daripada pesakit.

Mereka yang tidak mengetahui mungkin menganggapnya menggerunkan semasa pesakit mula sedar ketika pembedahan dilangsungkan dan menjawab soalan yang diajukan.

Elak jejas pesakit

Mesti ada yang bertanya sebab pesakit perlu disedarkan ketika pembedahan sedang dijalankan.

Dr Ramesh berkata, pesakit perlu disedarkan semasa pembedahan berlangsung kerana ia adalah untuk membolehkan pemotongan maksimum sambil memastikan tidak ada kecederaan ataupun hanya kecederaan minimum berlaku kepada tisu otak yang normal. Ini adalah untuk menentukan pesakit tidak mengalami kehilangan fungsi yang boleh menjejaskan pesakit.

“Cara terbaik untuk memastikan pesakit tidak mengalami kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan itu adalah melalui maklum balas dari pesakit sendiri.

“Ini tidak dapat diketahui jika pesakit berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” jelasnya.

Tambah Dr Ramesh, pesakit akan ditanya beberapa soalan dan disuruh untuk melakukan beberapa perkara yang mudah semasa ketumbuhan dipotong.

“Ini bagi melihat sama ada bahagian otak yang mengawal fungsi tersebut tidak mengalami kerosakan akibat pembedahan yang dibuat.

“Perubahan fungsi yang dikawal oleh bahagian otak tersebut diperhatikan dengan rapi. Jika terdapat perubahan yang negatif pada fungsi dan reaksi pesakit pembedahan akan dihentikan,” katanya.

Walaupun terdapat teknologi magnetic resonance imaging (MRI) yang dapat mengesan di mana lokasi ketumbuhan tetapi ia masih belum cukup tepat.

Dengan hanya berpandukan imbasan MRI pembedahan boleh diumpamakan seperti meredah kawasan yang penuh dengan perangkap samar.

Justeru kata Dr Ramesh, sebarang kerosakan kepada bahagian ini, walaupun cuma satu milimeter boleh menyebabkan pesakit terpaksa hidup dengan kecacatan yang hakiki.

“Walaupun imbasan MRI dapat menunjukkan bahagian pertuturan dan pergerakan. Ia mungkin tidak menunjukkan bahagian yang penting dengan tepat.

“Oleh itu pemetaan otak dibuat dengan rangsangan elektrik kepada otak semasa pesakit sedar. Ini adalah cara yang paling berkesan bagi melindungi saraf,” katanya.

Pesakit dilalikan ketika tempurung dibuka

Otak tidak mempunyai sistem penyembuhan sendiri jadi jika mana-mana bahagian mengalami kerosakan ia tidak akan pulih atau tumbuh kembali.

Pesakit akan diberi anestesia am sebelum pembedahan dimulakan untuk melalikannya. Pakar bedah akan memulakan pembedahan dengan membuka tempurung kepala untuk sampai kebahagiaan otak.

Pesakit perlu menerima bius kerana kulit kepala dan perikranium (tisu di yang menyelaputi tempurung) berasa sakit sementara otak tidak mempunyai deria sakit.

Selepas tempurung kepala pesakit dibuka, anestesia dibalikkan menyebabkan pesakit terjaga.

Selepas pemotongan ketumbuhan dibuat, pesakit dilalikan semula untuk menutup kembali tempurung kepala.

Oleh sebab pembedahan tersebut agak menggerunkan bagi pesakit mereka diberi kaunseling yang terperinci sebelum pembedahan dilakukan.

Pesakit pertama yang menjalani pembedahan Awake Craniotomy ini telah pun sembuh dan kini berada dalam keadaan sihat. - Sinar Harian


No comments:

Post a Comment