Perompak kena simbah asid

Anggota forensik membuat pemeriksaan terhadap sebuah beg sandang yang terdapat di dalam kedai emas dipercayai hendak digunakan suspek untuk memasukkan barangan kemas.
DUYONG - Seorang pekerja kedai emas nekad menyimbah asid sehingga sekumpulan empat penjenayah bertempiaran lari meninggalkan premis berkenaan dalam kejadian samun, semalam.

Simbahan asid yang digunakan untuk mencuci barang kemas dipercayai mengenai salah seorang daripada penjenayah itu apabila polis menemui sarung tangan yang sudah berlubang di luar kedai emas di Taman Seri Duyong Seksyen 2.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, salah seorang daripada perompak bertopi keledar dan bertutup muka turut melepaskan tembakan, namun hanya mengenai dinding selepas pekerja berkenaan menyimbah asid ke arah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek berkulit gelap bagaimanapun sempat melarikan barangan kemas yang diisi dalam sebuah beg.

“Ketika suspek memasuki kedai emas itu, terdapat beberapa orang termasuk dua pelanggan wanita di dalamnya sebelum menghalau mereka lalu memecahkan cermin pameran dan menggeledahnya.

“Dalam masa sama, seorang pekerja bertindak menyimbah asid ke arah salah seorang suspek menyebabkan seorang lagi melepaskan tembakan tetapi tidak mengenai sesiapa, hanya terkena pada dinding,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Raja Shahrom berkata, ketika hendak melarikan diri, satu das tembakan dilepaskan secara rawak di luar kedai oleh suspek sebagai isyarat supaya orang ramai beredar selepas kira-kira lima minit melakukan rompakan tersebut.

“Empat lelaki muda itu kemudian meninggalkan kedai menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup di dalam kedai, memberi gambaran bentuk fizikal badan keempat-empat suspek dipercayai berusia 30-an ke bawah dan dapat juga melihat mereka mengaut barangan kemas masuk ke dalam sebuah beg sandang,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, polis mengadakan operasi sekatan jalan dipanggil Ops Tutup sekitar Melaka bagi mengesan suspek yang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

“Kita percaya penjenayah yang terkena asid akan mendapatkan rawatan di klinik sekitar negeri. Kita minta kerjasama supaya klinik berkenaan memberikan maklumat sekiranya terdapat orang yang mendapatkan rawatan akibat simbahan asid dengan segera. Saya juga memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat memaklumkan kepada polis," katanya.

Raja Shahrom berkata, hasil siasatan awal pihaknya menjumpai sebuah beg kosong, sebuah tukul besi besar dan dua kelonsong peluru masing-masing di dalam dan luar premis berkenaan, selain satu sarung tangan dipercayai milik salah seorang suspek.

“Bagaimanapun, jumlah kerugian dialami pemilik kedai emas berusia 60-an itu dan barangan kemas yang berjaya dilarikan perompak tidak dapat dinilaikan lagi kerana terlalu awal dan masih dalam siasatan," katanya. - Sinar Harian



3 comments:

  1. padan muka sape yang tekena asid tu. tak serik lagi tak tau la

    harap cepat la kena tangkap mereka2 ni

    ReplyDelete
  2. hah amik kau ubat. merompak lagi. takdo kojo ko

    ReplyDelete
  3. klu dpt potong tgn tu lg bagus..padan muke hang

    ReplyDelete