Nasha Aziz berbicara tentang karier, cinta

JIWA yang sentiasa muda, Nasha Aziz mewakili interpretasi seorang supermodel Melayu yang mengabdikan pemikirannya untuk melihat individu sekelilingnya ceria, gembira dan bahagia.

Hal itu diakui sendiri oleh pemilik nama sebenar Noraishah Abdul Aziz yang akan melewati angka usia 42 tahun pada bulan Mei nanti.

Katanya, ketika dia membuat pilihan untuk melangkah ke dunia lakonan dan bergelar aktres, dia menilai bukan glamor yang dikejarnya.

"Kalau ditanya tentang karier saya masih sama seperti dulu - selektif kerana mahu merasakan sesuatu yang memberikan kepuasan.

"Apabila memilih untuk menjadi aktres, dunia ini berbeza daripada menjadi selebriti yang ternyata lebih glamor. Kalau mahu jadi aktres, jadi aktres sahaja dan syukur saya telah mencapai kepuasan untuk berlakon.

"Tapi saya tidak akan berhenti untuk memberikan sumbangan saya kepada peminat dan masyarakat. Lakonan adalah pemikiran jiwa saya kepada orang sekeliling dan fungsi saya memberikan kebahagiaan buat mereka," jelas Nasha yang akan muncul dalam sebuah drama komedi bersiri, Maskara.

Supermodel terkenal itu yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran drama Maskara di Redbox Plus, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui, dia tidak meletakkan sebarang sempadan atau batasan untuk bergaul dan berlakon bersama pelakon-pelakon muda seperti Anzalna, Lisa Surihani dan Andrea Abdullah dalam drama itu.

"Tiada apa-apa kelebihan pun kalau saya lebih senior daripada mereka kerana berada di set penggambaran drama ini saya tidak boleh meletakkan sebarang jangkaan tapi sebaliknya hari-hari saya dipenuhi keseronokan.

"Personaliti mereka menghiburkan mata dan hati saya selain dapat menambahkan ilmu saya dalam bidang lakonan," katanya yang memilih untuk berlakon drama ini kerana isi cerita yang santai serta berbeza daripada lakonannya sebelum ini.

Nasha melakonkan watak Liza iaitu seorang ibu tunggal berusia 30-an dan berjuang mempertahankan hak wanita untuk membesarkan anak, antipoligami dan mencari sesuatu yang lebih harmoni dalam kehidupan.

Selain Nasha, Maskara yang menampilkan perjalanan hidup empat wanita dalam mengharungi kehidupan di kota metropolitan menyaksikan Lisa Surihani sebagai Lynn, Anzalna Nasir untuk karakter Hani dan Andrea Abdullah merealisasikan watak Sue.

America's Next Top Model

Tambah Nasha , kekuatan Maskara terletak pada watak yang telah dibentuk dan pemilihannya kali ini demi memenuhi selera penonton yang mahukan kelainan daripadanya.

"Saya mahu peminat terhibur dan mahu menjamu masyarakat yang mengenali saya dengan makanan yang sihat. Orang tidak tahu strategi saya tapi saya yakin mereka tertanya-tanya apakah yang model ini boleh buat.

"Saya tidak mahu mengambil watak yang berat atau perlu sentiasa menangis kerana saya sudah merasakannya melalui filem Trauma sebelum ini, sekarang biar saya pula yang pilih," tegasnya.

Selain itu, Nasha memberitahu dia turut disunting oleh sebuah stesen televisyen swasta tempatan untuk mengendalikan sebuah program mirip America's Next Top Model versi Malaysia, namun belum memberikan kata putus.

"Program itu agak menarik tapi saya rasa berdebar-debar untuk menerima tawaran tersebut kerana tidak biasa untuk menghakimi orang lain. Siapalah saya untuk memberikan nasihat?

"Namun saya ada terfikir untuk mengajak teman baik saya, Richie Rachman yang mempunyai pengalaman cukup meluas dalam dunia fesyen dan peragaan untuk menjadi juri bersama. Insya-Allah kalau bersesuaian saya akan menerima tawaran ini," ungkap pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 itu.

Kisah cinta

Diajukan soalan mengenai perkembangan hubungannya dengan seorang jejaka berketurunan Cina bernama Nur Iman Tang yang pernah dikaitkan dengan dirinya suatu ketika dulu, tegas Nasha dalam jawapan yang diplomatik: "Jangan membuat spekulasi awal. Selagi tiada sebarang ikatan, tiada apa yang istimewa. Kenapa saya tidak boleh ada teman atau kawan sedangkan orang lain boleh?

"Kami masih berkawan dan setiap teman harus keluar bersama atau bersembang. Tidak elok untuk kita bermusuhan dan saya rasa saya perlu menjaga hubungan atau persahabatan ini," ulasnya mengenai hubungan dengan promoter konsert terkenal itu.

Sebelum ini, Nasha pernah membuka mulut mengenai hubungannya dengan Nur Iman Tang dan telah membawa kekasihnya itu ke kota Mekah untuk mendekatkan diri dengan kehidupan masyarakat Islam.

Malah, khabar angin mengenai perancangan mereka untuk berkahwin pada tahun 2010 selepas pulang dari Mekah belum bertemu titik noktah hingga kini. - kosmo.com.my




No comments:

Post a Comment