Lagi masjid dibakar di Myanmar

Polis berjaga di luar masjid yang sebahagiannya dibakar dalam rusuhan yang melanda Meiktila, tengah Myanmar pada 22 Mac, 2013

Yangon: Perusuh beragama Buddha semalam membakar sebuah lagi masjid dan kediaman penduduk Islam di bandar di tengah Myanmar.

Ia kejadian keganasan terbaru membabitkan penduduk berbeza agama itu yang setakat ini sudah meragut kira-kira 40 nyawa.

Dalam kejadian terbaru yang berlaku selepas keganasan meletus, polis berkata, sebuah masjid di bandar Nattalin dibakar perusuh.

Penduduk berkata, polis tidak dapat berbuat apa-apa ketika sekumpulan perusuh Buddha tiba di bandar itu dan membakar masjid berkenaan.


“200 perusuh datang ke bandar ini. Polis tidak dapat mengawal mereka...mereka memusnahkan masjid dan beberapa kediaman. Kemudian mereka beredar,” kata seorang penduduk.


Perintah berkurung dari senja hingga ke Subuh turut dikenakan di tiga lagi bandar, lapor media kerajaan ketika pihak berkuasa cuba untuk menghentikan keganasan itu yang mula tercetus di Meiktila 130 kilometer ke utara Naypyidaw, hab komersial Myanmar.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar, Vijay Nambiar yang mengunjungi Meiktila berkata semalam, penduduk Islam menjadi sasaran kekejaman penganut Buddha.

Keganasan bermula 20 Mac lalu berikutan pertengkaran di kedai emas di Meiktila. Ia bertukar menjadi ganas dengan masjid dan kediaman penduduk Islam dijadikan sasaran.

Ia adalah keganasan terburuk sejak penduduk Islam Rohingya di negeri Rakhine diserang oleh penganut Buddha tahun lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 180 orang dan menyebabkan lebih 110,000 kehilangan tempat tinggal. - Harian Metro


1 comment: