Lahad Datu: Polis tutup pintu rundingan dan bersedia mengambil tindakan terhadap pengikut Sultan Sulu


Lahad Datu: Polis menutup pintu rundingan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo di sini, dan bersedia mengambil tindakan menggunakan kekuatan pasukannya bagi menamatkan pencerobohan itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata penceroboh tidak mempunyai pilihan kecuali keluar dari lokasi persembunyian untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Tegasnya, pasukan keselamatan akan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat daripada diganggu kumpulan penceroboh dari selatan Filipina itu.

“Tiada lagi rundingan dan (kita) akan mengambil tindakan mengikut undang-undang jika mereka enggan mengikut arahan untuk pulang ke negara asal.

“Kita tidak peduli kumpulan terbabit daripada Kesultanan Sulu kerana mereka adalah pendatang dan melanggar kedaulatan serta keselamatan negara.

“Kesalahan cukup banyak dan boleh diambil tindakan mengikut Kanun Keseksaan, selain memasuki negara ini tanpa dokumen,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Gerakan Marin (PGM) Lahad Datu, di sini, semalam.

Sabtu lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kerajaan melanjutkan tempoh pengusiran kumpulan penceroboh sehingga, semalam, susulan permohonan Manila bagi memastikan proses penghantaran pulang dilakukan secara baik.

Kerajaan Filipina sebelum ini meminta Malaysia memberi pertimbangan melanjutkan tempoh pengusiran sehingga hari ini.

Kumpulan itu menceroboh dan memasuki di Kampung Tanduo, pada 12 Februari lalu.
Sementara itu, Hamza menafikan laporan dua anggota kumpulan berkenaan ditembak mati seperti dilaporkan sebuah portal berita, semalam.

“Kita tidak tahu apa terjadi sama ada berlaku tembakan dan saya mengesahkan kalau adapun bukan daripada pasukan keselamatan kita,” katanya.

Mengulas laporan media yang menyebut penceroboh dikatakan berbalah sesama sendiri, Hamza berkata, beliau tidak tahu apa yang berlaku dalam perkampungan diduduki kumpulan itu.

Beliau juga mengesahkan penahanan empat individu di lokasi berdekatan kira-kira jam 4 pagi semalam.

“Saya tidak dapat menjelaskan selebihnya kerana masih dalam siasatan. Saya hanya boleh katakan mereka ditahan kerana tiada dokumen sah dan tidak bersenjata,” katanya.

Sehingga petang semalam, Hamza berkata, kapal disediakan Kerajaan Filipina untuk membawa pulang penceroboh masih di perairan negara itu. - Berita Harian



1 comment:

  1. elok..tindakan tegas diberi.. kedaulatan negara beb..

    ReplyDelete