Malaysia berpotensi ditimpa gempa bumi berskala sederhana

KUALA LUMPUR - Umum mengetahui Malaysia antara negara yang  bertuah di dunia kerana terselamat daripada berada dalam lingkaran gempa bumi yang bermagnitud besar, namun ia bukan jaminan untuk negara tidak menerima tempiasnya.

 Dengan kedudukan yang hampir dengan lingkaran gempa besar dan berjiran dengan dua negara aktif gempa bumi, iaitu Indonesia dan Filipina, secara langsung menjadikan negara turut merasai gegaran bermagnitud rendah apabila gempa bumi berskala kuat menimpa kedua-dua negara jiran itu.

 Pada tahun 2012, Jabatan Meteorologi mengesa lapan gempa bumi  - enam di Sabah (Tambunan, Kota Marudu, Kudat, Beluran, Kunak dan Keningau) dengan magnitud (antara 2 dan 4.5 pada skala Richter) dan dua di Belaga, Sarawak berkekuatan (3.5 dan 3.8 skala Richter)

Bagaimanapun negara pernah mengalami gempa bumi pada magnitud 5.8 skala Richter di Lahad Datu pada 1976 yang diklasifikasikan sebagai gempa berskala sederhana.
      
ANCAMAN ITU BENAR

Timbalan Ketua Pengarah (aplikasi) jabatan itu, Dr Mohd Rosaidi Che Abas, 54, yang berpengalaman luas dalam bidang kaji gempa bumi dan tsunami berkata kemungkinan ancaman gempa bumi di Malaysia tidak boleh diketepikan.

Katanya kawasan semenanjung terutama di Bukit Tinggi, Pahang dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah antara kawasan berpotensi diancam gempa bumi berskala sederhana.

"Terletak di lingkaran gempa bumi bermagnitud besar seperti di Sumatera dan Laut Andaman, manakala Sabah dan Sarawak terletak di lingkaran gempa Filipina Selatan dan Sulawesi Utara, menjadikan kebarangkalian Malaysia ditimpa gempa bumi berskala sederhana boleh terjadi," katanya kepada Bernama.
      
KEMUNGKINAN DILANDA GEMPA BUMI
  
Dr Mohd Rosaidi yang berkhidmat lebih 30 tahun di jabatan itu menjelaskan bahawa kebarangkalian negara ditimpa gempa bumi berskala kuat adalah mustahil.

Katanya satu kajian sedang giat dijalankan oleh universiti-universiti tempatan berdasarkan senario ini.

"Cadangan pemantauan jangka panjang terutama di Ranau dan Lahad Datu, Sabah dan Bukit Tinggi, Pahang sedang diusahakan bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia," katanya sambil menambah situasi (gegaran gempa bumi) ini merupakan situasi yang biasa dan orang ramai dinasihatkan agar tidak panik.

Hasil simulasi yang dijalankan, gempa bumi yang berlaku di negara jiran juga boleh mengakibatkan negara ditimpa tsunami, kata pemilik ijazah doktor falsafah dalam bidang gempa bumi dari Universiti Teknologi Malaysia dan ijazah sarjana bidang seismologi dari International Institute of Seismology of Earthquake
Engineering di Jepun itu.

 "Hasil kajian yang dijalankan mendapati gempa bumi kuat di zon-zon pertembungan plat tektonik di laut Andaman, Laut China Selatan , Laut Sulu dan Laut Sulawesi boleh menjana tsunami, dan dijangka boleh melanda perairan negara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak," katanya.

STESEN AMARAN TSUNAMI
  
Dr Mohamad Rosaidi berkata selepas gempa bumi yang melanda Aceh pada Disember 2004 yang mengakibatkan ombak besar tsunami, negara telah mengambil langkah dengan menubuhkan 17 stesen pengesan gempa bumi, dan sistem amaran awal Tsunami Nasional Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa tujuh stesen yang mula beroperasi pada tahun 2005 itu mampu mengesan pergerakan plat tektonik bumi dalam tempoh seminit selepas berlaku gempa bumi dan mengesan gelombang tsunami, menjadikan stesen itu sebagai antara yang terbaik di dunia.

Dalam tempoh 10 minit membolehkan penduduk di kawasan terbabit melakukan persediaan, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa, apabila berlakunya tsunami.

Ujar bapa kepada enam cahaya mata itu, setiap stesen beroperasi 24 jam sehari, tujuh di Semenanjung dan 10 di Sabah dan Sarawak turut dilengkapi dengan 44 sistem peralatan mengesan pergerakan seismik, 17 sistem tolok pasang surut dan 18 sistem kamera pantai.  

Menurut Dr Mohd Rosaidi lagi, 23 siren tsunami turut dipasang di lokasi berisiko di seluruh negara bagi memberi amaran kepada penduduk sekiranya berlaku tsunami.
  
KERJASAMA AGENSI LUAR
  
Dengan kerjasama agensi antarabangsa seperti 'International Tsunami Warning Centre dan 'International Tsunami Traning Centre' yang berpusat di Hawaii sebagai pertukaran maklumat terutama berkaitan amaran gempa bumi dan tsunami, dilihat sebagai langkah tepat bagi menjadikan sistem amaran gempa bumi dan tsunami negara, lebih efisien.

Dr Mohd Rosaidi berkata negara sedia kerjasama dengan agensi meteorologi Indonesia dan Filipina dalam perkongsian maklumat gempa bumi dan tsunami yang berlaku di negara mereka sebagai perkongsian maklumat awal untuk jabatan.

Bagi peringkat awal, pembangunan 17 stesen memanggil pakar-pakar daripada negara  yang berpengalaman dalam membangunkan pusat ini seperti Amerika Syarikat dan Jepun bagi melontarkan pandangan dan memberi tunjuk ajar mengenai cara-cara menghadapi gempa bumi dan tsunami, jelas beliau.

TINDAKAN MASYARAKAT
  
Dalam menghadapi situasi gempa bumi yang boleh berlaku pada bila-bila masa di negara kita, masyarakat turut memainkan peranan penting, terutama cuba mengetahui cara-cara menghadapi bencana seperti ini.

Ia turut diakui Dr Mohd Rosaidi yang memberitahu bahawa peranan masyarakat ialah untuk sentiasa mengambil tahu keadaan negara yang ditimpa gempa bumi berskala sederhana.

"Bila berlaku gempa bumi, orang ramai dinasihatkan sentiasa mendapatkan maklumat terkini dari jabatan meteorologi," katanya.

Adakah kita sudah bersedia menghadapi gempa bumi?

"Jika gempa bumi berlaku, pastikan anda selamat dan cuba dengar berita mengenainya yang dikeluarkan jabatan melalui television, radio dan laman sosial," katanya.

"Latihan amal tsunami juga dijalankan supaya orang ramai boleh bertindak segera jika negara dilanda gempa bumi atau tsunami, katanya.- Bernama


No comments:

Post a Comment