Loji nuklear AS bocor


SEATTLE: Enam tangki bawah tanah di Pusat Simpanan Nuklear Hanford di Sungai Columbia, selatan Washington bocor dan membebaskan sisa radioaktif tetapi tidak memberi risiko kepada kesihatan umum, kata Gabenor Jay Inslee, kelmarin.

Inslee diberitahu, satu tangki bocor di loji senjata nuklear tidak digunakan lagi minggu lalu oleh Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Steven Chu tetapi diberitahu Chu bahawa kebocoran sisa membabitkan enam tangki.

“Setakat ini, tiada risiko kesihatan berkaitan dengan kebocoran yang baru diketahui ini, lebih lapan kilometer dari Sungai Columbia. Namun, ia berita membimbangkan kepada penduduk Washington,” kata Inslee dalam kenyataan pejabatnya.

Gabenor memetik Chu sebagai berkata, jabatannya mulanya tidak menyedari kebocoran lima lagi tangki kerana tidak cukup kakitangan untuk menganalisis data yang ada.

“Ini jelas menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana keadaan 149 tangki mengandungi cecair dan sisa radioaktif di Hanford,” katanya.

Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan seminggu lalu, Jabatan Tenaga berkata penurunan paras cecair dalam tangki T-111 di Hanford menunjukkan ia bocor pada kadar 568 hingga 1,136 liter setahun.

Jabatan itu memberitahu, pemantauan terhadap telaga tidak menunjukkan perubahan besar dalam kepekatan bahan kimia atau radionuklid dalam tanah.

Jabatan Tenaga berkata, T-111 adalah tangki simpanan bawah tanah dengan kapasiti dua juta liter dibina antara 1943 dan 1944 serta mula digunakan pada 1945. Ia dikelaskan sebagai bocor dijangka pada 1979 dan projek penstabilan sementara selesai pada 1995.

Tangki berkenaan kini menyimpan 1.7 juta liter sisa campuran pepejal dan cecair dengan kepekatan seperti lumpur, kata jabatan berkenaan.

Tidak dapat dipastikan jika lima tangki yang dikenal pasti bocor bersaiz sama seperti T-111 atau bocor pada kadar sama.

“Chu bersungguh-sungguh untuk membersihkan nama Hanford. Beliau yakinkan saya akan lakukan apa terdaya untuk menangani isu kebocoran tangki. Beliau juga beri jaminan kepada saya akan ada pemantauan tambahan untuk tangki lain.

“Kami setuju Washington dan kerajaan persekutuan mesti adakan perbincangan teliti dan jelas mengenai keperluan tangki simpanan tambahan,” katanya.

Pusat Simpanan Nuklear Hanford seluas 1,517 kilometer persegi dibina berhampiran bandar Hanford di sepanjang Sungai Columbia pada 1943 sebagai sebahagian Projek Manhattan, program membangunkan bom atom pertama kerajaan Amerika. REUTERS


No comments:

Post a Comment