Ratko Mladic penyembelih rakyat Bosnia

Ratko Mladic
Merupakan perancang utama pembunuhan beramai-ramai mangsa perang Srebrenica 1992-1995.

Mladic atau 'penyembelih rakyat Bosnia', membunuh lebih 100,000 penduduk tempatan termasuk 8,000 kanak-kanak dan lelaki.

Pembunuhan beramai-ramai itu adalah satu daripada proses pembersihan etnik oleh kumpulan nasionalis Serb dalam membentuk sebuah negara Serbia di Bosnia.

Ia juga merupakan kekejaman paling teruk di Eropah selepas Perang Dunia II.

Susulan kekejaman itu, satu operasi memburu Mladic dilakukan dan berterusan lebih 16 tahun.

Sepanjang tempoh berkenaan, Mladic dipercayai bersembunyi hingga kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan ganjaran lebih AS$5 juta (RM15.2 juta) kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya dalam tahun 2000.

Pengepungan Sarajevo

Tanggal 2 Mei 1992, sebulan selepas kemerdekaan Republik Bosnia, Mladic yang berjawatan sebagai Leftenan Kolonel Jeneral mengepung bandar Sarajevo.

Pasukan tentera Mladic kemudian menutup semua laluan masuk dan keluar dari bandar berkenaan termasuk bekalan air serta elektrik, selama empat tahun.

Maka bermulalah tempoh pengepungan paling lama dalam sejarah perang dunia moden iaitu Pengepungan Sarajevo.

Jurucakap aktivis mendedahkan, dalam tempoh itu askar Serb-Bosnia bebas menembak sesiapa sahaja serta melancarkan serangan bom dalam Sarajevo.

Lelaki tidak berhati perut itu sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Panglima Tentera Kedua Markas JNA di Sarajevo, enam hari selepas berjaya melancarkan misinya.

Dua tahun kemudian, Mladic dianugerahkan pangkat Kolonel Jeneral dan mandat mengetuai lebih 80,000 tentera.

Satu lagi serangan dilancarkan Mladic, kali ini di Srebrenica. Pada Julai 1995, wilayah Srebrenica dan Zepa diserbu dan mengusir lebih 40,000 penduduk. Seramai 8,300 orang Islam dibunuh kejam.

Pada November 1995, Hakim Mahkamah Tribunal Jenayah Perang Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) di The Hague, Fuad Riad mendakwa, Mladic melakukan pembersihan etnik. Riad menganggap perbuatan Mladic sebagai 'perutusan dari neraka yang telah ditakdirkan dalam sejarah hitam manusia'.

Penguasaan pasukan rejim Mladic tidak bertahan lama apabila wilayah dalam kepungan mereka iaitu Croatia berjaya ditembusi pasukan ketenteraan Croatia.

Rentetan itu, Presiden Bosnia Serbia, Radovan Karadic menyalahkan Mladic sekali gus melucutkan jawatannya kerana menyebabkan Serbia hilang dua bandar dalam timur Bosnia.

Presiden Republikan Serbia Bosnia, Biljana Plavsic, turut memecat Mladic pada Ogos 1995.
kubur mangsa pembunuhan beramairamai perang Sebrenica digali semula pada 2004.

Buruan antarabangsa

1995 - Tribunal jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague, mendakwa Mladic melakukan jenayah perang iaitu penghapusan etnik penduduk Islam Sarajevo dan Srebrenica.

2001 - Sejurus kejatuhan Presiden Serbia, Slobodam Milosevic, Mladic terpaksa hidup dalam persembunyian.Tibunal mendedahkan Mladic masih bersembunyi di Bosnia tetapi pihak berkuasa termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Bosnia dan Serbia gagal mengesannya.

2011 - Walaupun menyamar dengan nama Milorad Komadic, Mladic berjaya ditahan di kediaman sepupunya di Lazarevo, utara wilayah Vojvodina, pada  Mei dan terus dihantar ke The Hague.

2012 - Mladic dibicarakan di bawah pertuduhan merancang jenayah perang ke atas rakyat Islam Bosnia dan Yugoslavia. Sepanjang tempoh perbicaraan, hakim terpaksa menangguhkan beberapa sesi selepas Mladic diserang angin ahmar sekali gus menyukarkannya untuk berkomunikasi.


Profil Ringkas

12 Mac 1942 - Mladic dilahirkan di selatan Bosnia. Bapanya seorang ahli politik komunis yang dibunuh pada 1945 oleh kumpulan tentera pro-Nazi Croatia Utasha.

1961 - Sewaktu berumur 19 tahun, Mladic mendapat latihan ketenteraan di Sekolah Industri Tentera di Zemun, Belgrade, sebelum melanjutkan pelajaran ke Akademi Tentera Kov.

1992 - Presiden Bosnia Serbia, Radovan Karadzic melantiknya sebagai Komander Tentera Bosnia-Serb.

1994 - Anak perempuannya, Ana membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri di Belgrade.

1995 - Tentera Mladic menawan keseluruhan Bosnia, selain berjaya mengepung Sarajevo selama 43 bulan. Lebih 8,000 penduduk Islam Bosnia termasuk lelaki dan kanak-kanak yang ditahan di timur Srebrenica dibunuh.

2010 - Demi mendapatkan hak pemilikan harta, keluarga Mladic terutama isterinya memfailkan kematiannya tetapi ditolak pihak kerajaan.

sinar harian


1 comment: