Beg tangan hilang 7 tahun ditemui semula

London: Seorang ibu menemui begnya semula selepas ia dicuri tujuh tahun lalu. Lebih menarik lagi, Parveen Ashraf terkejut mendapati wangnya sebanyak £250 (RM1,250) masih ada di dalam beg berkenaan.

Selepas beg itu dicuri dalam satu rompakan terhadap rumahnya di Werrington, Peterborough pada 2006, Parveen membatalkan semua kad kreditnya dan tidak menaruh harapan untuk menemui beg itu semula.

Dalam kejadian berkenaan, rumah Parveen, 47, dimasuki pencuri menerusi pintu dapur. Antara barang dilarikan ialah basikal anaknya dan beg tangan jenis Fiorelli.

Parveen tidak percaya apabila seorang jirannya mengetuk pintu dengan membawa beg itu selepas ditemui pekerja ketika membersihkan semak 10 meter dari rumahnya.

Beberapa gambar keluarga yang amat berharga bagi Parveen masih berada di dalam beg itu bersama-sama lesen memandu dan alamatnya yang membolehkan pekerja terbabit mengesan Parveen.

“Beg ini hanya berada 10 meter dari rumah saya sepanjang masa. Saya terkejut memperolehinya semula. Seronok kerana mengetahui masih ada orang jujur di dunia ini. Satu keajaiban memperolehinya semula. Tetapi, menemui wang itu semula adalah satu bonus.

“Saya yakin pencuri itu mengambil not £20 (RM100) kemudian mencampakkan beg sebelum melarikan diri dengan basikal anak saya. Dia tidak sedar wang £250 terlipat di dalam buku cek saya,” katanya.

hmetro.com.my


2 comments: