Hukuman penjara bagi 'kaki intai'


Mengintai atau mengekori telah menjadi satu kesalahan jenayah khusus di England dan Wales dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan di negara itu.

Kerajaan negara terbabit memperkenalkan dua kesalahan iaitu mengintai dan mengekori dengan melibatkan suatu ketakutan akan keganasan.

Beberapa kempen sebelum ini mendakwa, undang-undang yang melibatkan gangguan seumpamanya tidak mencukupi.

Di Scotland misalnya, mengintip telah menjadi kesalahan sejak 2010.

Satu siasatan yang dilakukan oleh Parlimen awal tahun ini mendapati kira-kira 120,000 mangsa, kebanyakannya wanita, diganggu menerusi perbuatan itu setiap tahun.

Bagaimanapun hanya 53,000 insiden direkodkan sebagai jenayah oleh polis dan hanya satu dalam 50 laporan terbabit membawa kepada pesalah dipenjarakan.

Penyelidikan bagi kesalahan baru yang akan diperkenalkan ini mendapati gangguan dan ugutan sering boleh bertukar menjadi pembunuhan.

Selepas bertemu mangsa dan mereka yang berkempen mengenainya di Downing Street awal tahun ini, Perdana Menteri negara terbabit menyifatkan mengintai sebagai "jenayah hina" yang "membuat kehidupan seperti neraka kepada mangsa."

Undang-undang baru ini, jika didapati melakukan perbuatan tersebut akan membawa hukuman penjara maksimum enam bulan manakala mengintai sehingga melibatkan ketakutan keganasan atau kesusahan yang serius akan membawa hukuman maksimum lima tahun penjara.

Wartawan BBC, Clive Coleman berkata, kerajaan berharap dengan menambah kesalahan secara spesifik dapat memberi gambaran yang lebih jelas untuk setiap kesalahan kepada pihak polis bagi meningkatkan tahap keselamatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

Pembaharuan ini timbul selepas satu siri pembunuhan melibatkan kerja-kerja mengintai dan menghendap termasuk dalam kes Clifford Mills, 49 tahun, yang telah diekori bekas kekasihnya Lorna Smith di Facebook sebelum menikam mati  di flat di Brixton, selatan London, Februari tahun lepas.

Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup Februari lalu, dengan tempoh minimum 21 tahun selepas didapati bersalah.


sumber: Sinar Harian

2 comments: