Aidilfitri peluang baiki silaturrahim

AIDILFITRI adalah hari raya khusus untuk orang yang bertakwa selepas sebulan berpuasa. Hal ini menunjukkan hubungan dengan Allah semakin dekat dan kesan puasa seperti kesucian dan kematangan jiwa, kekuatan mental, ketinggian moral dan akhlak dapat dikembangkan dalam kehidupan masyarakat.

Aidilfitri juga hari perayaan iman. Bagi setiap orang yang benar-benar memahami serta menghayati Islam akan menginsafi dan merasai bahawa betapa gembiranya mereka pada hari ini.

Allah menetapkan Aidilfitri sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi orang beriman. Kita perlu merasakan hakikat nikmat Allah yang lengkap dan sempurna ketika menyambut hari lebaran ini.

Betapa agungnya Aidilfitri jelas dilihat apabila Rasulullah saw melarang umatnya (haram) daripada berpuasa pada hari itu.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, katanya:

“Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka daripada Ramadan (Aidilfitri).” (Hadis riwayat Muslim).

Kenikmatan berhari raya hanya dapat dirasakan oleh orang yang berpuasa Ramadan dalam erti kata sebenar saja. Maksudnya, orang yang melaksanakan ibadat puasa semata-mata kerana tunduk dan patuh kepada perintah Allah.

Bukan mulut mereka saja berpuasa, malah anggota badan lain seperti telinga, mulut, hidung dan mata dipelihara daripada melakukan perkara keji dan kotor.

Orang yang hanya sekadar ’puasa-puasaan’ dan tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebab dibenarkan syarak, bagi mereka hari raya tidak mempunyai sebarang erti dan nilai.

Sesungguhnya, kegembiraan berhari raya itu bukan diukur dan bergantung kepada kehebatan pakaian atau hiasan serta banyaknya makanan pada hari raya. Ia terletak kepada sejauh mana bertambahnya ketakwaan dan keimanan seseorang itu.

Kedatangan Aidilfitri hendaklah disambut dengan ucapan takbir dan tahmid. Takbir dan tahmid yang kita ucapkan pada malam dan pagi hari raya mengandungi dua makna. Pertama, menyambut kedatangan Syawal yang mulia dan kedua, menunjukkan kesedihan di atas pemergian Ramadan al-Mubarak.

Dalam merayakan Aidilfitri ini, kita hendaklah membersihkan hati dan memperbaiki hubungan sesama Muslim. Segala perasaan dendam, kebencian, iri hati dan dengki hendaklah dikikis. Semua ini kita gantikan dengan perasaan kasih-mengasihi sesama Muslim. Hulurkan tangan bermaaf-maafan dan binalah hubungan persaudaraan yang kukuh berlandaskan persaudaraan Islam.

Diriwayatkan Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

"Janganlah kamu saling marah, dengki dan tidak menegur antara satu sama lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara." (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

"Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya." (Hadis riwayat Muslim).

Dalam kemeriahan menyambut hari raya, janganlah sekali-kali dilupai orang yang tidak berkemampuan. Sebagai tanda mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, berilah bantuan kepada mereka dan binalah persaudaraan Islam sejati.

Kedatangan 1 Syawal tidak seharusnya dicemari dengan dentuman meriam dan hiburan yang melampaui batas. Sebaliknya, perayaan Islam dimulakan dengan takbir dan tasbih memuji dan menyucikan Allah.

Rasulullah menyarankan agar umat Islam menyambut hari raya ini dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda bermaksud:

“Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)." (Hadis riwayat al-Thabrani).

Laungan takbir yang berkumandang di seluruh pelusuk tanah air, pasti menyejukkan jiwa. Ia akan kembali menenangkan fikiran, melapangkan hati untuk bermaafan, menjalin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang lama terjalin sesama umat Islam.

Oleh Mohd Shukri Hanapi




http://halaqah.net/v10/index.php?topic=8049.0

3 comments:

  1. kalau bleh, lepas solat raya, melawat dan ziarah saudara mara....kdg2, kita jarang jumpa dgn saudara tapi bila raya, kita bleh jumpa dan kenal berkenalan...he3

    ReplyDelete
  2. salam kenal..
    selamat hari raya.. maaf zahir dan batin

    ReplyDelete
  3. Asakura ~ itulah yg sepatutnya...tpi budak2 sekarang byk habiskan masa depan tv hehe

    Zul Fattah ~ slmt hari raya

    ReplyDelete